Pada tahun 2014, saya telah menulis satu blog post yang bertajuk ' Nota Rujukan - Boilerman Gred 2 '.
Post itu telah di baca oleh lebih 130,000 orang dan mendapat respon/komen/soalan daripada lebih 70 orang. Alhamdulillah, ramai bakal-bakal Boilerman telah mendapat manfaat daripada maklumat yang dikongsikan.
Beberapa tahun telah berlalu dan terdapat banyak perubahan terutama sekali dari segi Akta dan undang-undang yang berkaitan. Pada tahun 2027 juga nanti pertama kali pihak JKKP menetapkan bahawa semua Boilerman di dalam sektor awam perlu memperbaharui lesen mereka. Saya sendiri adalah pekerja di sektor awam yang memegang lesen Boilerman Gred 2 sejak 2012. Sebelum ini, di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967, sijil kekompetenan boilerman (buku fizikal) dikeluarkan tanpa tarikh luput (sah seumur hidup). Namun, bermula 1 Jun 2024, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH) telah menguatkuasakan syarat baharu yang mewajibkan semua orang kompeten memperbaharui lesen secara berkala.
Di bawah undang-undang terbaharu Malaysia iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang telah dipinda, frekuensi untuk memperbaharui lesen boilerman (Operator Dandang Stim) sama ada di sektor swasta mahupun awam adalah setiap 3 tahun sekali. (https://dosh.gov.my/wp-content/uploads/2025/01/Garis-Panduan-Pendaftaran-Dan-Pembaharuan-Pendaftaran-Orang-Kompeten-2024.pdf)
Memandangkan telah ada banyak perubahan seperti yang disebut di atas, saya telah cuba mengumpulkan semua maklumat berkaitan dan membukukannya di dalam sebuah e-book yang saya jual dengan harga yang sangat berpatutan di Google Play. Link seperti di bawah ;
https://play.google.com/store/books/details/Rosedi_Che_Rose_BOILERMAN_GRED_2?id=zFwIEgAAQBAJ
PRAKATA
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah
lagi Maha Penyayang.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi
kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya,
buku Peperiksaan Lisan Boilerman Gred 2 ini akhirnya dapat disiapkan.
Buku ini dihasilkan dengan tujuan
membantu calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan lisan Boilerman Gred 2,
di samping menjadi bahan rujukan kepada operator dandang, jurutera, tenaga
pengajar, pelajar TVET serta sesiapa sahaja yang ingin menambah pengetahuan
dalam bidang pengendalian dandang stim.
Kandungan buku ini disusun
berdasarkan silibus dan topik yang lazim ditanya dalam peperiksaan lisan,
digabungkan dengan pengalaman industri, amalan sebenar di tempat kerja,
keperluan keselamatan, serta rujukan kepada undang-undang dan piawaian yang
berkaitan. Penjelasan diberikan dalam bahasa yang mudah difahami supaya pembaca
bukan sahaja mampu menghafal jawapan, malah memahami konsep serta sebab di
sebalik setiap prosedur yang diamalkan.
Bidang pengendalian dandang
merupakan satu bidang yang memerlukan tahap disiplin, pengetahuan dan
tanggungjawab yang tinggi. Kesilapan kecil boleh membawa kepada kemalangan yang
serius serta mengancam nyawa dan harta benda. Oleh itu, setiap orang kompeten
hendaklah sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi kehendak undang-undang,
mengamalkan prosedur operasi yang betul serta tidak berhenti menimba ilmu
sepanjang kerjaya mereka.
Walaupun segala usaha telah
dilakukan untuk memastikan ketepatan maklumat yang disampaikan, penulis
mengakui bahawa peraturan, piawaian dan teknologi sentiasa berkembang dari
semasa ke semasa. Oleh itu, pembaca disarankan supaya sentiasa merujuk kepada akta,
peraturan, garis panduan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
(JKKP/DOSH), kod ASME, manual pengeluar serta dokumen rasmi yang terkini
sebagai rujukan utama.
Penulis berharap buku ini dapat
menjadi teman ulang kaji yang bermanfaat, membantu meningkatkan keyakinan calon
menghadapi peperiksaan lisan, seterusnya melahirkan lebih ramai Boilerman yang
berpengetahuan, berkemahiran, berintegriti dan sentiasa mengutamakan
keselamatan dalam menjalankan tugas.
Akhir kata, semoga segala usaha
kecil ini memberi manfaat kepada semua pembaca dan menjadi satu amal jariah
yang berterusan.
Tc. Rosedi che Rose










